Make your own free website on Tripod.com

SEJARAH SEKOLAH

 

Sekolah Menengah Yok Bin terletak di Jalan Air Leleh, kira-kira 3 kilometer dari Bandar Melaka dan berdekatan dengan Sekolah Menengah Seri Kota. Ia berasal dari Sekolah Malam yang dianjurkan oleh Persatuan Eng Choon dalam tahun 1920. Persatuan Eng Choon telah membuka kelas-kelas malam selepas mendapati bahawa ramai anak-anak Tionghua buta huruf. Kelas-kelas ini diadakan di dalam Kawasan Persatuan Eng Choon di Jalan Tun Tan Cheng Lock (dahulu dikenali sebagai Heeren Street). Pada tahun 1922, kelas-kelas tersebut dipindahkan ke waktu pagi. Pada mulanya, bilangan murid yang menghadiri kelas-kelas waktu malam itu hanya berjumlah 20 orang sahaja dengan En. Chang Te Siu sebagai guru besar. Setelah ia menjadi sekolah bersesi pagi dengan En. Lim Pan Lung sebagai Penyelia Pertama, bilangan murid-murid kian bertambah. Kawasan Persatuan ini tidak dapat menampung bilangan murid-murid yang kian bertambah ini. Seterusnya sebuah Jawatankuasa Pembinaan Sekolah telah dibentuk pada tahun 1924, oleh Penyelia barunya, En. Chou Ching Chang.

Pada tahun 1926, di bawah nama jawatankuasa ini yang diketuai oleh En. Tay Yik Lok, sekeping tanah di Jalan Kubu dibeli. Pada tahun 1940 dengan sokongan kuat dari puak Eng Choon, sebuah bangunan dengan 10 bilik darjah dan sebuah padang permainan dibina di tanah tersebut. Sebuah sekolah rendah dilahirkan. Sekolah ini ditutup ketika Pemerintahan Jepun dari 1941-1945.

Pada awal tahun 1946, sekolah ini dibuka semula dengan En. Chou Ching Chang sebagai Penyelia baru dan En. Chew Ching Chee sebagai Guru Besar. Disebabkan oleh kekurangan guru yang terlatih di sekolah rendah pada masa itu, kelas Normal Rendah dibuka pada tahun 1947 untuk memberi kursus latihan guru kepada murid-murid yang tamat darjah 6 yang berminat menjadi guru.

Pada tahun 1948, dengan nasihat dari Kementerian Pendidikan, kursus ini dihentikan. Kelas-kelas Menengah Rendah dibuka dengan bantuan RM 10,000 dari En. Tay Yik Lok. Pada tahun 1954 pula, Lembaga Pengelola Sekolah membuka kelas-kelas Menengah Atas dengan En. Tay Yik Lok sebagai Penyelia dan En. Cheng Tai Yang sebagai Pengetua. Pada masa yang sama, satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk mengutip derma bertujuan membina sebuah Sekolah Menengah. Seterusnya sebidang tanah di Jalan Air Leleh dan di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa, Datuk Tan Cheng Swee, sebuah makmal sains disediakan pada tahun 1957. Projek ini menelan perbelanjaan lebih kurang RM 350,000.00.

Pada tahun 1958, Bahagian Rendah dan Bahagian Menengah diasingkan. Sekolah Menengah Yok Bin ditempatkan di Jalan Air Leleh dengan Dr. Orient Li sebagai Pengetua dan Datuk Lau Leong sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah. Sejak tahun itu, Sekolah Menengah Yok Bin telah kian maju dan berkembang dengan mewujudkan suatu budaya sekolah tersendirinya.

Pada tahun 1987, satu kelas Tingkatan Enam Sastera didirikan, diikuti dengan pembukaan 2 Kelas Tingkatan Enam Sains tahun kemudiannya. Dengan itu, Sekolah Menengah Yok Bin dianugerahkan sebagai sekolah Gred A.

Untuk Ke Muka Hadapan